Tuesday, 24 November 2015

ROYAL BELUM- REVISITED



gambar map cilok dr "Google"
 
Pada tanggal 7 nov - 10 Nov 2015 yang lepas, aku telah berkampung di pedalaman hutan dara Royal Belum yang terletak di dalam daerah Grik di Utara Perak. Trip kali ini merupakan kali ketiga aku ke sini. Trip kali ini akan diingati sebagai trip paling mencabar mental dan fizikal. Jemaah trip kali ini adalah seramai 22 orang dan ditemani oleh 2 orang guide berlesen. Boleh dikatakan kesemua jemaah adalah pemancing tegar dari pelbagai latar-belakang. Bagi aku pula, selain dari memancing, trekking dan bercamping jauh ke pedalaman hutan begini memberi ketenangan walaupun terpaksa berjalan berkilometer di dalam hutan dengan pelbagai risiko. Tulisan aku ni sikit2, je, jadi layan gambo je la.

Sebelum aku sambung cerita, berikut adalah secara ringkas tentang Royal Belum.
Royal Belum merupakan antara hutan hujan tropika yang tertua di dunia dan dikatakan lebih tua dari hutan amazon. Sebahagian hutan Royal Belum/Temenggor ini merangkumi hingga sempadan Thailand dan bersempadan dengan negeri Kelantan. Hutan Royal belum ini diwartakan di bawah enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak. Di dalam taman negeri Royal Belum ini, kalau tak silap, hanya kaum orang asli suku Jahai sahaja yang menetap di hutan ini dan mereka juga adalah sebahagian dari khazanah Royal Belum. Setelah diwartakan dalam tahun 2003, beberapa buah kem askar telah diwujudkan di dalam hutan ini untuk menjaga khazanahnya dari diceroboh. Orang awam yang ingin trekking, camping atau membuat kajian di sini hendaklah memohon kebenaran dari jabatan taman negeri dan haruslah ditemani guide yang berdaftar dengan jabatan dan jika ingin trekking lebih jauh, pengunjung perlu membawa renjer hutan bersama. Pada zaman komunis sekitar tahun 60'an, hutan Belum ini merupakan salah satu kem terbesar mereka dan diwartakan sebagai kawasan hitam pada zaman itu. Hutan Royal Belum ini kaya dengan flaura dan faunanya, namun bagi aku, pemburu2 haram dan sindiket underground yang mengaut hasil dari hutan ini tidak dapat dikawal dek kerana tebal dan luasnya hutan Royal Belum ni.

Hari pertama (7 Nov 2015)
Perjalanan kami bermula dari homestay di Felda Bersia yang tidak jauh dari jeti awam Pulau Banding. Di homestay ini, semua jemaah berkumpul untuk persiapan seperti mengagih-agihkan bahan mentah untuk makanan dan umpan memancing. Kebanyakan kami sampai pada malam hari jumaat hingga ke pagi sabtu. Lebih kurang jam 9 pagi kami bergerak ke jeti yang merupakan kawasan official permulaan trip kami. Dari jeti ini kami menaiki bot, berhenti di 2 checkpoint dan selepas itu bot terus bergerak sebelum bot diparking di pinggir sungai Kejar, dan trekking pun bermula. Sebelum start trekking, pengerusi trip telah memberi sedikit peringatan dan membacakan doa ringkas. Trekking kami bermula jam 11.40 pagi. Tempat yang nak dituju ini bernama Kajang, lebih kurang 13/14 km jarak dari tempat bermula trekking. Kebiasaannya dalam 4 jam kami boleh sampai ke kem ini, tapi oleh kerana ada masalah cuaca dan banyak pokok  yang tumbang, kami terpaksa melencong dari track asal dan mencari jalan lain, dan pada waktu itu hujan turun lebat. Group dibahagi 2, aku dalam group pertama dan sampai di basecamp tepat jam 7.30 malam. Khemah ringkas didirikan setelah sampai kerana dalam keadaan gelap gelita dan hujan lebat tak banyak perkara dapat dilakukan, ditambah pulak dengan kepenatan setelah berjalan jauh.

Pembahagian bahan mentah (makanan). Telah dibahagikan kepada jumlah jemaah trip, jadi tak boleh ngelat. smua kene ambik bahagian masing-masing.
Serbuk minuman energy, produk dari Indonesia. Campurkan dengan air sungai dan sedia untuk diminum. Takde cop halal maupun cop pengesahan dari kementerian kesihatan ye
 Muka masing-masing masih ceria. Waktu ni tengah menunggu bot di jeti



2 bijik bot digunakan untuk membawa kami seramai 22 orang


Berhenti di checkpoint untuk pengesahan dokumen sebelum perjalanan menaiki bot diteruskan
Di sinilah trekking bermula. Segala peralatan diperiksa sebelum mula menapak masuk ke dalam hutan
Selepas penerangan ringkas dan sedikit bacaan doa, maka bermulalah episod berjalan kaki

Berhenti rehat di pit-stop yang pertama. muka masing2 menggambarkan macam2 perasaan hehehe
Berhenti rehat di pit-stop yang kedua. Di sini kami berehat lebih lama. Sempat untuk solat jamak sebelum meneruskan perjalanan
Masih mampu tersenyum....soalan wajib ketika ini.."jauh lagi ke"...hehehe
 
Menunggu Jemaah dari group kedua yang sedikit jauh di belakang

Selepas pit-stop kedua, perjalanan diteruskan dan bermulalah cabaran sebenar, trekking dalam hujan lebat, trek yang terhalang dek pokok tumbang, kegelapan dan bau-bauan binatang buas kadang-kala menyerikan perjalanan. Pada waktu ini, pacat menjadi teman setia kami. Alhamdulillah, semuanya selamat sampai di base-camp dengan keadaan basah kuyup.

Hari kedua (8 Nov 2015)
Sungai di depan base camp kami seperti "teh tarik". Hujan lebat di hulu sungai telah menyebabkan jeram menjadi kotor dengan membawa segala jenis lumpur, tunggul2 kayu dan sampah. Semangat untuk memancing sedikit luntur kerana ketika air begini, ikan amatlah sukar untuk dipancing. Aktiviti pagi hanya makan, memasang khemah dan memancing secara sambilan sahaja di depan base camp. hanya 2 ekor ikan kecil berjaya dipancing pada siang hari. Bila petang, cuaca bertambah baik dan kami terus berharap agar hujan tidak turun lagi. Alhamdulillah, sehingga malam, hujan tidak turun dan hasil pancingan makin bertambah. Kelah pertama seberat 2kg+ berjaya dipancing pada malam harinya dengan menggunakan umpan sebiji sawit.

Air sungai yang sepatutnya jernih kini telah bertukar menjadi "teh tarik", disebabkan oleh hujan lebat pada malam sebelumnya
Kerja-kerja menaik taraf tempat tinggal dilakukan pada hari kedua
Pengerusi trip merangkap master chef sedang menyediakan sarapan untuk Jemaah-Jemaah


"mahligai" yang siap terbina pada hari kedua dan menjadi penginapan kami untuk 2 hari berikutnya

Hari ketiga (9 Nov 2015)
Perbincangan dibuat pada malam sebelumnya untuk merancang strategi untuk trekking memancing di lubuk hilir sungai, di kawasan bernama Sanghur dan lagi 1 group naik ke hulu sungai ke kawasan bernama Laho.  Pada paginya, aku dengan 3 orang lagi jemaah lain telah trekking ke hulu sungai. Air sungai pada hari ketiga sedikit cantik berbanding dari hari kedua, namun ikan masih mengunci mulut, mungkin kerana perubahan suhu air, ikan-ikan masih tidak aktif dan kebanyakan pemancing yang menggunakan umpan tiruan gagal mendapatkan hasil yang diinginkan . Dalam trip ini aku menggunakan teknik "fly fishing" @ pancing layang yang baru dipelajari. Alhamdulillah, berjaya jugak aku mencungkil seekor ikan Tengas Daun dari lubuk sungai yang deras dan berlumpur, dan ianya menjadi ikan tunggal aku dalam trip ini. Para pemancing lain yang mengamalkan teknik pancingan berumpankan buah sawit boleh dikatakan berjaya mendapat hasil yang agak memuaskan. Hari ketiga selesai dengan cuaca yang sangat baik hingga ke malam.


Ikan Tengas Daun ini merupakan ikan tunggal aku untuk trip ini yang berjaya dipancing menggunakan set pancing layang 5wt berumpankan beadhead nymph #10
Hasil keseluruhan untuk dinikmati oleh 22 orang Jemaah. walaupun tak banyak tapi cukup. Alhamdulillah
"Pemancing Misteri" dengan ikan kelah bersaiz "kasar". Dia ni pnye ilmu pancingan ikan sungai pergunungan memang hebat. Juga arif dengan selok-belok lubuk-lubuk di Royal Belum
Ikan Kejor saiz sedap makan
Keseluruhan tangkapan pada hari ketiga. Ikan pertama dalam gambar ini adalah kelah merah. manakala yang lain2 tu ikan tengas batu, kejor dan tengas daun. majoriti tangkapan ini dipancing menggunakan umpan sawit. Kebanyakan ikan yang tidak mencapai saiz idaman atau terlalu besar dilepaskan untuk menjaga tumbesaran spesis tersebut. Ikan kelah contohnya mengambil masa bertahun2 untuk mencapai umur matang. Konservasi  dan kaedah "tangkap & lepas" adalah salah satu cara mengawal populasi ikan ini.
Najis gajah fresh. terjumpa semasa trekking ke hulu sungai
Lantern Bugs. Nama melayunya aku tak tau.Menurut guide, serangga unik ini hanya terdapat di pohon yang sebatang ni je. Di pokok lain mungkin ada tapi susah nak Nampak

Menu makan malam yang ketiga. Tengas masak stim dan grill ala2 thai. Sedap ya rabbi. Kalo dekat kedai makan menu macam ni memang boleh cecah harga ratus-ratus

Hari keempat (10 Nov 2015)
Hari keempat merupakan hari akhir kami di sini. Setelah 2 hari hujan tidak turun, air sungai menjadi lebih cantik, ikan-ikan mula menampakkan kelibat di gigi air, namun tidak banyak kami boleh lakukan kerana kami harus bersiap/berkemas untuk balik ke pangkal jalan. Ada jemaah yang tegar, tetap meneruskan aktiviti memancing di awal pagi dan beberapa ekor ikan tengas dan sebarau berjaya didaratkan sebelum dilepaskan kembali. Tepat jam 11 pagi, kebanyakan kami telah siap berkemas dan perjalanan balik ke pangkal jalan diteruskan.

Air Sungai yang sebelumnya seperti teh tarik, kembali kepada warna asal pada hari keempat kerana cuaca sangat baik pada hari sebelumnya
Sarapan pagi yang mewah pada hari keempat. Nasi lemak + sambal ikan bilis petai+ kari sardin + telur goreng
Group photo sebelum berangkat pulang. Mission accomplished walaupun cuaca kurang baik

Perjalanan balik juga melalui trek hutan yang sama, namun kali ini semua jemaah boleh jalan laju2 sebab beban beg sudah berkurangan jika nak dibandingkan dengan beban semasa pergi

Presiden merangkap mastermind dan master chef yang membuat segala perancangan sehingga misi selesai dengan jayanya. Terima kasih chief!!!
 
Majlis jamuan perpisahan selepas semua selamat keluar dari hutan. Moga berjumpa lagi

Kesimpulan.
Bagi para pemancing dan pencinta alam yang gemar dengan aktiviti begini, hutan Royal Belum merupakan tempat yang harus dikunjungi, Insya-Allah anda tidak akan kecewa dan akan merindui saat-saat berada di sini dan mungkin akan memasang niat untuk kembali lagi. Aku sangat berterima kasih kepada pengerusi dan jemaah lain dalam trip ini yang kesemuanya mempunyai semangat "brotherhood" yang tinggi walaupun kebanyakan dari kami tidak pernah bersua sebelumnya. Sebaik pulang, trip untuk tahun depan telah dirancang, dan kemungkinan akan tinggal di sini lebih lama lagi. Semoga perancangan ini sukses. Sekian