Friday, 29 May 2015

ROBERT JOHNSON DAN PERJANJIAN SYAITAN

Robert Johnson, seorang penyanyi, pemain gitar dan lagenda blues berkulit hitam dari Mississippi yang terkenal sekitar tahun 1936-1937 dengan lagu-lagu bluesnya. Beliau juga terkenal dengan kisah perjanjian syaitannya di sebuah simpang jalan di Clarksdale USA.
Gambar (google image) Crossroad hari ini. Tugu turut diwujudkan sebagai mengenang Crossroad Blues
Robert Johnson pada mulanya dikatakan mempunyai skil permainan gitar seperti kebanyakan blues musician yang ada pada zaman itu, namun pada suatu masa beliau telah menghilangkan diri dan kembali sebagai seorang blues musician yang hebat. Son House, seorang blues musician pada zaman itu mengatakan bahawa jika tidak menjual jiwa kepada syaitan, Robert Johnson tidak mungkin akan sebagus itu. Dari sinilah wujud hikayat perjanjian syaitan Robert Johnson, walaupun sebenarnya beliau telah meninggalkan kampung dan mengembara ke selatan Mississippi untuk mencari bapanya. Di sana beliau telah bertemu dengan Ike Zinnerman seorang pemain gitar blues yang hebat, dan sedikit sebanyak beliau dapat mempelajari sesuatu dari stail permainan gitar Ike. Semasa hidup beliau tidak sempat untuk mencapai tahap glamer sebagai blues musician kerana telah meninggal dunia pada tahun 1938, dalam usia 27 tahun. Punca kematian beliau pelbagai, namun pendapat yang kuat mengatakan bahawa beliau mati akibat terminum whiskey yang dicampur racun dengan tujuan untuk membunuhnya. Antara cerita lain tentang kematiannya, beliau telah ditikam oleh seorang lelaki yang berang apabila Robert mengorat isterinya dan ada yang mengatakan bahawa kematian beliau ada sangkut-paut dengan perjanjian syaitannya di Crossroad . Segala kajian dan tulisan mengenai Robert Johnson dibuat selepas kematiannya dan kebanyakannya ditulis dari temu-ramah dengan orang tempatan atau sezaman dengan beliau. Walau apapun cerita pasal Robert Johnson ni, beliau akan selamanya dikenang sebagai blues musician yang hebat. Untuk sejarah foto-foto beliau, hanya 2 keping foto Robert Johnson yang ditemui dan disahkan asli. Tengok jarinya dalam gambar memang menyeramkan, jari panjang macam hantu. Oleh kerana beliau mati pada usia 27 tahun, maka beliau merupakan salah seorang ahli Club 27 bersama arwah Janis Joplin, Jimi Hendrix, Kurt Kobain dan lain lain artis yang turut mati pada umur 27 tahun. Corak permainan bluesnya telah mempengaruhi kebanyakan gitaris blues dan rock. Salah seorangnya Eric Clapton yang menjadikan Robert Johnson sebagai rujukan dan idolanya.Pelbagai filem dan drama telah dikeluarkan mengenai Robert Johnson namun kebanyakannya fokus kepada kisah perjanjian syaitannya di Crossroad. Siri drama Supernatural juga pernah menjadikan syaitan penjaga crossroad sebagai fokus dalam salah satu episodnya.Aku bukanlah peminat blues tegar, namun bila mendengar lagu-lagu Robert Johnson, memang "feel"nya lain jika dibandingkan ketika melayan lagu-lagu Leadbelly, Hendrix maupun Roy Buchanan. Sekian

 Album tribute untuk Robert Johnson dari Eric Clapton

Saturday, 23 May 2015

STEPHEN KING'S THE SHINING & DR SLEEP

The Shining

novel ini terperuk dalam kotak dan kulit buku dimakan ulat. mmg rezeki die la hahaha
The Shining, sebuah novel horror dari Stephen King yang dikeluarkan dalam tahun 1977. Secara ringkasnya, novel ini tentang keluarga Jack Torrance, isterinya, Wendy dan anak lelaki mereka bernama Danny berumur 5 tahun. Jack merupakan seorang penulis dan guru sekolah yang mempunyai masalah ketagihan alkohol yang serius dan emosi yang kurang stabil, akibatnya beliau telah dipecat kerana tindakan kasarnya ke atas budak sekolah. Dalam masa yang sama, beliau juga merupakan seorang suami dan bapa yang penyayang walaupun kadangkala beliau tidak dapat menahan amarah akibat dari ketagihan alkohol. Selepas dibuang kerja, beliau telah berusaha untuk berubah dan telah mendapat pekerjaan sementara untuk menjadi caretaker di Overlook Hotel. Sebagai caretaker, beliau harus tinggal di hotel ini sepanjang musim sejuk dan memantau keadaan dalaman hotel.Walaupun baru sahaja sampai di Overlook hotel, Danny dapat merasakan wujudnya semangat jahat di Overlook Hotel dan ianya seringkali diingatkan oleh sahabat ghaibnya bernama Tony. Danny yang mempunyai keistimewaan "shining" atau bolehlah ditafsirkan sebagai ilmu kasyaf dan pandangan mata tak berhijab adalah antara fokus utama dalam novel ini. Dick Halloran, seorang tukang masak berkulit hitam di Overlook Hotel yang juga mempunyai "shining" sempat membimbing Danny tatacara mengawal dan menggunakan shining sebelum beliau meninggalkan Overlook hotel. Maka bermulalah episod-episod seram yang akhirnya mengorbankan Jack Torrance yang telah sepenuhnya dirasuk jin-jin jahat. Diakhir cerita, beliau hampir membunuh Wendy dan Danny. Danny telah menggunakan kebolehan istimewanya untuk menghubungi Dick Halloran secara ghaib untuk meminta pertolongan. Seterusnya Danny telah sedaya-upaya untuk menyedarkan bapanya dari kerasukan kronik menggunakan shining dan pada suatu ketika Jack telah sedar dan naluri sebagai seorang bapa mendorongnya untuk berpesan kepada Danny supaya meninggalkan Overlook Hotel sebelum segalanya terlambat. Danny dan Wendy telah diselamatkan oleh Dick Halloran. Overlook Hotel terbakar dan Jack Torrance telah sama-sama berkubur bersama Overlook Hotel . Novel ini juga seolah-olah menggambarkan diri Stephen King sebagai Jack Torrance, kerana pada masa beliau menulis novel ini, beliau sedang menghadapi ketagihan alkohol yang kronik.
Novel ini pernah diadaptasi ke filem oleh pengarah tersohor Stanley Kubrick. Dengan lakonan terlebih mantap Jack Nicholson, sebagai Jack Torrance. Ramai yang mengatakan filem ini antara filem horror terbaik sepanjang zaman dan ianya lebih terkenal dari novel. Aku akui, untuk genre psychological horror punya filem, memang filem ini diantara yang terbaik, namun terlalu banyak perbezaan antara filem dan novel. Di dalam filem, watak Jack Torrence seorang yang panas baran, pemarah tidak kira masa dan bermuka bengis. Ini sangatlah berbeza dengan watak novel yang menggambarkan bahawa Jack Torrance hanya menjadi seorang yang panas baran dan kurang waras apabila ketagihan alkohol sahaja. Di dalam novel, mesej kekeluargaan adalah seiring dengan unsur-unsur seram dan ianya tidak dapat dirasai di dalam filem yang lebih fokus pada unsur hantu dan semangat jahat. Malah Stephen King sendiri merasa kecewa dengan filem The Shining yang banyak menyimpang dari jalan cerita sebenar.


Dr Sleep


Novel ini dikeluarkan pada tahun 2013. Tercetusnya novel ini oleh kerana ramai peminat yang bertanya kepada Stephen King apakah yang terjadi kepada kanak-kanak Danny Torrance dari novel The Shining sesudah dewasa. Maka terbitlah novel ini, iaitu sekuel kepada novel The Shining. Ia mengisahkan kehidupan Danny Torrance yang telah dewasa dengan misinya yang tersendiri. Di dalam novel Dr Sleep ini, tabiat buruk Jack Torrance yang kaki mabuk telah meresap ke dalam diri Danny. Setelah bertahun-tahun hidup terumbang-ambing, Danny mengambil keputusan untuk hadir di program pemulihan ketagihan alkohol. Selepas berjaya memulihkan ketagihan, beliau telah bekerja secara sukarela di hospital pesakit tua. Tugasannya kelihatan mudah, hanya membantu pesakit yang nazak untuk menghembuskan nafas terakhir dengan aman dengan menggunakan kebolehan "shining"nya. Seekor kucing juga turut membantu dan bertindak sebagai radar dengan menunggu di katil pesakit yang hampir mati bagi memudahkan Danny untuk mengesan pesakit tersebut. Oleh kerana tugasannya ini, beliau digelar Dr Sleep. Selepas beberapa ketika, kejadian lebih aneh bermula, apabila Danny sering bermimpi tentang kejadian-kejadian lampau yang terjadi di Overlook Hotel. Beliau juga telah dapat rasakan bahawa sekumpulan manusia aneh yang digelar The True Knot, telah berlegar di jalanan dengan menaiki RV (recreational vehicle). Manusia-manusia dalam geng The True Knot ini bolehlah sebagai manusia/monster immortal yang hidup dengan mengambil zat manusia yang mempunyai "shining" dengan menyeksa mereka hingga mati. Zat ini dikenali sebagai "steam". Sedikit lawak dalam novel ini apabila mangsa terakhir The True Knot merupakan seorang yang berpenyakit. Setelah mereka mengambil steam dari mangsa, seorang demi seorang anggota The True Knot mula sakit dan mati. Ketua mereka, Rose O'hara a.k.a Rose The Hat, mempunyai penyelesaian untuk masalah ini. Mereka perlu mencari mangsa yang mempunyai kuasa "shining" yang terkuat, dan mereka telah mengesan seorang kanak-kanak perempuan bernama Abra Stone, yang mempunyai kuasa "shining' yang sangat hebat, malah lebih hebat dari Danny Torrance. Dalam masa yang sama, Abra juga sedar The True Knot sedang memburunya. Jadi, dengan menggunakan "shining", beliau telah berhubung secara ghaib dengan Danny untuk meminta pertolongan menghapuskan geng The True Knot. Seterusnya berlakulah pertembungan geng baik lawan geng jahat di tapak runtuhan Overlook Hotel. Dan seperti biasa, geng baiklah yang menang. Penghabisan novel ini pada aku terlalu awal dan terburu-buru. Mungkin Stephen King sudah tua dan kekurangan idea. Anyway, cerita Dr Sleep ini tetap menghiburkan dan very light reading tak seperti novel agung lain seperti The Stand dan Under The Dome. Bagi yang sudah membaca The Shining, bolehlah melayan Dr Sleep. Dan bagi yang belum membaca The Shining, sila habiskan baca The Shining, untuk mendapatkan "feel" apabila melayan novel Dr Sleep. Sekian

"Let me close with a word of caution, when you're on the turnpikes and freeways of America, watch out for those Winnebagos and Bounders. You never know who might be inside. Or what." - Stephen King



Monday, 18 May 2015

CURRENT 93- BAALSTORM, SING OMEGA

Untuk bercerita pasal album ini sebenarnya bukan konsep muzik yang ingin kongsikan, tetapi lebih kepada unsur keagamaan yang terdapat dalam album ini. Seperti kebiasaan karya-karya Current 93, lirik-lirik tidak lari hikayat yang bercerita tentang pengakhiran dunia. Dalam album digipack ini terdapat 9 buah lagu apocalyptic folk dengan element muzik timur tengah dan kesemua lagu dalam album ini lebih santai jika dibandingkan dengan album-album awal Current 93 .
Gambar David Tibet semasa kecil di Batu Gajah, Perak dengan kostum tentera Rom kuno
Kebanyakan lirik dalam album ini diilhamkan dari naskah-naskah ketuhanan Injil coptic dan tulisan-tulisan Abbot Shenoute yang bertahap wali (saint) dalam ajaran kristian koptik orthodok yang masyur di Mesir suatu ketika dahulu. Di sini aku ingin fokus pada lagu pertama dalam album ini yang bertajuk I Dreamt I was Aeon. Permulaan lagu ini dengan bunyian piano yang sayu, memang aku dapat rasakan suatu tarikan dari lagu ini . Lirik lagu ini menceritakan tentang kehidupan masyarakat mesir kuno menurut risalah-risalah coptic kristian dan dicampur dengan syair-syair ciptaan David Tibet. diakhir lagu ini, jika ditenung pada lirik asal ditulis dalam abjad coptic yang aku tak pernah tahu membacanya. Tetapi sebutannya dalam lagu jelas, iaitu: "La Illaha Illallah". Ya, ianya kalimah suci umat islam. Diakhir lagu ini juga ada suara kanak-kanak melaungkan "Allah!".

Aku tidak layak untuk menghukum bahawa lirik lagu ini sesat, syirik dan segala macam label dan begitu juga sebaliknya kerana aku tidak ada ilmu untuk itu. Pendapat peribadi aku, tiada kesesatan pada lagu-lagu dalam album ini . Ianya adalah karya yang ikhlas dan tidak dipaksa-paksa, walaupun peminat-peminat Current 93 telah ramai merungut bahawa konsep bawaan Current 93 telah mula merapu. Melayan karya-karya sebegini maupun yang satanic pada aku tiada masalah asalkan kita tahu batas-batasnya. Sekian

Wednesday, 13 May 2015

HELL- HUMAN REMAINS

Hell, sebuah band heavy metal british yang ditubuhkan pada tahun 1982 di Derbyshire England. Pada awal kemunculan, pelbagai nasib malang menimpa band ini. Kes pertama, syarikat rakaman untuk merakamkan album debut mereka telah lingkup sebelum sempat merakamkan lagu. Gitaris, Kev Bower merasa kecewa dan meninggalkan Hell. Tidak lama selepas itu, vokalis/gitaris David G Halliday telah membunuh diri, dan berakhirlah hayat Hell.

Arwah David G Halliday
Walaubagaimanapun, pada tahun 2011, Hell telah dilahirkan semula. Semua anggota asal Hell: Kev Bower-Gitar, Tim Bowler-Drum, Tony Speakman-Bass, telah bersama semula untuk merakamkan album pertama mereka, Human Remains di bawah label Nuclear Blast. Andy Sneap (sabbat) direkrut sebagai 2nd gitaris, dan David Bower (adik beradik Kev Bower) direkrut sebagai vokalis, mungkin kerana teknik vokalnya yang seiras vokal arwah Dave G halliday. David Bower juga merupakan pelakon teater dan televisyen di UK dan ini banyak membantu Hell dalam persembahan live. Terdapat 11 lagu dalam album ini dan semuanya lagu-lagu mereka di era 80'an yang dirakam semula. Terdapat beberapa part lagu yang menggunakan mixing vokal David G Halliday yang diambil dari demo 80'an mereka. Pada aku 3 lagu yang terbest dalam album ini adalah lagu On Earth As it is in Hell, Plague and Fire dan The Quest. Hell juga aktif bermain di dalam pesta-pesta muzik metal besar seperti Bloodstock, Tuska Open Air dan lain-lain dan telah mengeluarkan album kedua dalam tahun 2013. Kredit haruslah diberikan kepada Andy Sneap yang paling berusaha untuk lahirnya album ini. Dan menurut ceritanya David G Hallidaylah yang mengajar Andy main gitar dan album ini seolah-olah untuk mengenang arwah David. Wajah david juga terdapat dalam cover depan album ini (disebalik awan merah tu). Bagi aku, vokal dan bakat arwah David G Halliday dalam menyanyi dan mencipta lagu untuk Hell adalah yang terbaik dan tiada tolok bandingnya. Yang minat nwobhm boleh la layan album ni. Sekian

Sunday, 10 May 2015

IT, Filem dan Novel

Filem IT (1990) Baru-baru ni terbaca pasal filem seram tahun 1990 IT arahan Tommy Lee Wallace yang diadaptasi dari novel Stephen King IT (1986) bakal di-remake dan akan memulakan penggambaran tidak lama lagi. Filem IT pernah ditayangkan di Tv2 kalau tak silap dalam tahun 90'an dan masa aku tonton filem ni dulu aku kecik lagi. Dalam bahagian pertama filem ini, kanak-kanak adalah watak utama, jadi ianya menjadi filem seram terbaik untuk aku pada masa itu. Jalan cerita juga tidak banyak beza dari novel asal. VCD IT ni aku tak ingat bila masa aku beli. Beli dekat mana pun tak ingat dah.
Secara ringkasnya filem seram ini mempunyai 2 bahagian, bahagian pertama berlatarkan tahun 1958 di pekan kecil, Derry yang terletak di Maine USA. Ianya mengisahkan makhluk aneh yang boleh menjelma dalam pelbagai bentuk monster. Salah satu jelmaan IT yang terkenal ialah badut bernama Pennywise aka Pennywise the dancing clown. Modus operandinya memperdaya kanak-kanak untuk dijadikan santapan. Kebanyakan kes kanak-kanak hilang tidak dapat disiasat polis dan menemui jalan buntu dan selalunya hanya mayat kanak-kanak ditemui tanpa sebarang bukti pembunuhan. Suatu hari, seorang kanak-kanak bernama George Denbrough telah dibunuh IT setelah kapal kertasnya dihanyutkan ke dalam longkang besar di mana IT sedang menunggu. Setelah kematian George, abangnya Bill telah nekad untuk menyiasat perkara sebenar. Bill merupakan kanak-kanak yang gagap dan selalu dibuli di sekolah oleh Henry Bower dan kumpulannya (samseng sekolah). Bill mempunyai 6 orang rakan yang turut menjadi mangsa buli dan mereka turut dikenali sebagai Losers Club. Lama-kelamaan Bill dan rakan-rakan menyedari kehadiran IT kerana setiap seorang daripada mereka menceritakan pengalaman pernah diganggu IT dalam pelbagai jelmaan yang menakutkan. Mereka juga telah menyusun strategi untuk memusnahkan IT. Dalam bahagian pertama filem ini mereka telah berjaya menewaskan IT. Mereka telah pergi ke sarang IT di dalam sebuah bangunan lama terpencil yang berhubung dengan pembetung longkang. Henry Bower dan rakan-rakanya telah mengikut mereka secara senyap ke dalam sarang IT tanpa mengetahui tujuan mereka ke sana. Sebelum IT tewas, ia sempat melakukan sesuatu kepada Henry Bower dan menyebabkan beliau kelihatan tua dan fikirannya menjadi tidak waras. Di akhir bahagian pertama, Bill dan rakan-rakan telah berjumpa IT dan Beverly Marsh telah melastik bebola perak ke kepala IT ketika beliau sedang mencekik Stan Uris. Setelah terkena peluru lastik, IT meraung kesakitan dan melompat ke dalam lubang kecil dan hilang. Mereka merasa was-was samada IT telah mati atau lari menyembunyikan diri. Selepas Kejadian itu, Bill selaku ketua kumpulan telah menyatakan bahawa jika IT kembali maka mereka harus bersatu semula. Semua mereka setuju dan melakukan sumpah taat setia.

Pada tahun 1985 setelah 27 tahun berlalu, IT telah kembali semula ke Derry untuk meneruskan kegiatan jahatnya. Bermulalah bahagian kedua filem ini berlatarkan tahun 1985 dimana semua mereka telah dewasa. Mike Hanlon, seorang dari Losers Club yang tinggal di Derry, telah menghubungi rakan-rakannya yang lain tentang perkara ini kerana rakan-rakanya kini tinggal di kota dan mempunyai kerjaya yang bagus. Setelah mendapat panggilan dari Mike, mereka mula mengimbas masa lampau dan janji mereka untuk kembali menewaskan IT.

Nak buat rumusan sampai habis aku tak reti la, jadi sila dapatkan DVD atau download sahaja filem ini untuk kesudahan bahagian terakhir filem ini. Bagi yang minat membaca, sila dapatkan novel IT, kerana watak-watak dan suasana di dalam novel adalah lebih detail berbanding filem. Berikut secara ringkas 7 watak hero/heroin dalam filem ini.

1 Bill Denbrough. Seorang kanak-kanak gagap, dan abang kepada arwah George Denbrough yang dibunuh IT ketika bermain kapal kertas. Beliau pernah diganggu IT apabila album gambar yang dipegang kelihatan berdarah dan terselak dengan sendirinya.

2 Eddie Kaspbrak. Seorang berbadan kecil dan mempunyai penyakit asthma, tetapi seorang yang berani. Pernah diganggu IT ketika sedang mandi di bilik air sekolah dan menyembur ubat asthma (inhaler) ke muka IT dalam pertarungan bahagian pertama.

3 Beverly Marsh. Satu-satunya perempuan dalam kumpulan Losers Club. Pernah diganggu IT semasa di rumahnya, dimana beliau melihat darah membuak-buak dari sinki. Dalam fasa pertama, beliau adalah heroin yang berjaya melastik kepala IT dan menyebabkan IT berundur.

4 Richard Tozier. Seorang pak lawak dan suka menggangu Henry Bower dan kumpulannya dengan sindiran sinis. Richard pernah diganggu IT dalam jelmaan serigala jadian.

5 Ben Hanscom. Seorang kanak-kanak gempal yang pintar dan berpindah ke Derry selepas kematian bapanya yang terkorban didalam peperangan. Pernah diganggu IT dalam bentuk jelmaan arwah bapanya.

6 Stan Uris. Seorang kanak-kanak yahudi dan sering menafikan adanya IT. Boleh dikatakan bahawa beliau seorang kanak-kanak yang paling lemah semangat di dalam Losers Club. Di hari beliau mendapat panggilan dari Mike Hanlon tentang kemunculan IT, beliau seolah-olah tidak dapat menerima berita itu,dan telah membunuh diri.

7 Mike Hanlon. Satu-satunya kanak-kanak kulit hitam dalam Loosers Club. Beliau bekerja sebagai penjaga perpustakaan di Derry setelah semua kawan-kawanya berhijrah ke kota. Beliau merupakan watak penting yang memantau suasana di Derry jika IT kembali. Beliau bertanggungjawab mengumpul semula semua ahli Losers Club ketika IT kembali pada tahun 1985.

Novel IT (1986)

Novel ni kalau tak silap aku beli dekat kedai buku 2nd hand dekat Amcorp Mall. Khatam sekali dua je pastu terus simpan. Dulu aku pernah memiliki novel IT versi UK hardcover 1st edition, tetapi ralat, aku jual dekat kawan dengan harga tak sampai RM50. Harini aku tengok dekat Ebay, versi yang sama dijual dengan harga paling murah USD59.99 sehingga USD150 tak termasuk postage fee. Memang rezeki dia la walaupun aku rasa dia belum pun baca novel tu. Scene dkt bawah ni dalam filem takde. Scene dimana Richie "Trashmouth" Tozier pulang ke Derry selepas 27 tahun. Dalam novel, Richie seorang peminat muzik rock. IT telah menggunakan ilmu jahatnya, dimana ketika Richie terpandang tulisan di marquee, show Iron Maiden & Judas Priest:

Namun selepas itu, Richie seolah-olah ternampak bahawa tulisan show itu telah bertukar, menampilkan dead musician yang hebat-hebat, walaupun Phil Lynott mati tahun 1986 (novel ni berlatarbelakangkan 1985), nama dia pn ade hehehe

Novel IT pernah memenangi anugerah novel terbaik British Fantasy Society Awards pada tahun 1987. Bagi aku IT adalah karya Stephen King yang paling dikenali oleh kerana watak pennywise di dalam movie IT yang cukup berkesan dan menakutkan.

"they all float down here....they all float...."-Pennywise The Dancing Clown

Monday, 4 May 2015

Current 93- Lucifer Over London

Sedikit pengenalan tentang Current 93. Ianya sebuah band berkonsepkan neofolk (bukan folk macam Bob Dylan, Joan Baez maupun Kopratasa) dari England yang diasaskan bernama David Tibet. Buat pengetahuan bagi yang belum tahu, David Tibet adalah anak kelahiran Batu Gajah, Perak dan berhijrah ke England pada umur 11 tahun. Pada usia muda beliau sudah mula tertarik dengan agama buddha tibet, penulisan-penulisan Aleister Crowley, karya-karya Austin Osman Spare dan lain-lain karya individu dalam dunia kultus-kultus gelap. Secara tidak langsung ianya mencorakkan konsep muzik Current 93. Aku mulakan dengan bercerita tentang EP Lucifer Over London ini kerana album inilah yang mengenalkan aku dengan Current 93. EP ini dikeluarkan dalam tahun 1994 dan mempunyai 3 buah lagu folk yang berunsur gelap dan lirik-lirik lebih kepada pengakhiran dunia (Eschatology). Secara keseluruhan, element folk+rock+ambient+psychedelic digabungkan dalam EP ini. Bagi yang tidak menggemari lagu yang panjang berjela dan menyanyi tak ikut "tune" macam orang bersajak, mungkin sukar untuk menghadam karya-karya Current 93. Di dalam EP ini ada diceritakan idea-idea dan sumber untuk setiap lagu . 3 lagu adalah seperti berikut: 

1 Lucifer Over London (Part 1 and II). Durasi: lebih kurang 7 minit. Permulaan lagu ini ada sedikit sound ala2 lagu Paranoid Black Sabbath. Lagu ini adalah salah 1 lagu terbaik yang pernah dihasilkan oleh David Tibet. Band metal Greece, Rotting Christ pernah menjadikan lagu ini sebagai lagu cover dalam album Khronos mereka.

2 Sad Go Round. Durasi: lebih kurang 5 minit. Ianya adalah lagu "cover". Band asal yang memainkan lagu ini adalah band lagenda Rock/Blues British, Groundhogs. Arrangement lagu menarik, solo gitar yang mendayu dan berjaya dimainkan semula oleh Current 93 mengikut acuan muzik mereka dan ianya lebih panjang dari versi asal. Pada akhir lagu ada ditambah bunyi-bunyian funfair yang tiada dalam lagu original.
3 The Seven Seals Are Revealed At The End Of Time As Seven Bows: The Bloodbow, The Pissbow, The Painbow, The Faminebow, The Deathbow, The Angerbow, The Hohohobow. Durasi: lebih kurang 13 minit. Tajuk lagu sangat panjang sampai aku tak boleh nak ingat. Lagu ni sangat bersesuaian sebagai lagu penutup. Permulaan lagu sedikit perlahan dengan macam-macam bunyian dengan nada vokal seolah-olah membaca buku cerita/bersajak. Klimaks lagu ini pada aku bermula dalam minit ke 8 terakhir yang mana aku rasa macam lagu ini takkan habis, pendek kata nak kena dengar lagi dan lagi dan lagi..... 

Sehingga hari ini, Current 93 masih aktif mengeluarkan album dan bagi yang menggemari lagu-lagu berunsur folk yang gelap, suram dan seram, EP ini adalah untuk anda. Ada dikeluarkan dalam format vinyl dan CD. Sekian dulu. Nanti akan datang aku kongsi cerita dari album-album lain pulak, nak tulis panjang-panjang pun tak reti. Pendapat-pendapat aku ini adalah amatur dan mungkin anda mempunyai pandangan yang berbeza tentang album ini.

Friday, 1 May 2015

Salam Perkenalan


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Bertahun tahun asyik membaca blog-blog orang lain, maka aku pun teringin nak buat blog jugak.Jenuh jugak la nak setup blog punya page ni sebab aku ni memang tak pandai IT. Aku ni bukanlah seorang yang berbakat dalam penulisan atau mengulas sesuatu perkara, maka kandungan blog ini nanti secara amatur sahaja dan mungkin lebih menjurus kepada cerita-cerita muzik/filem, bahan bacaan terutamanya novel/cerpen fiction horror, dan tentang kehidupan duniawi seadanya. Bahasa/gaya penulisan yang bakal digunakan adalah "rojak" dan kemungkinan ada kesalahan ejaan yang tidak menepati skema kamus dewan. Rasanye setakat itu dululah intro aku ni, nak tulis panjang-panjang pun tak pandai sangat. 1st official posting akan diupload kemudian. Akhir kata, selamat menyambut Hari Pekerja dan selamat bercuti.

Terima kasih semua